15 Okt 2012

57. Pulut Kuning Langkah Demi Langkah


Ada pelbagai cara memasak Pulut Kuning dan Pulut Pagi. Antaranya pulut direndam dengan kunyit dan asam keping, dikukus dan digaul dengan santan kemudian dikukus semula. Mengukus pulut cara tradisional seperti ini akan menghasilkan pulut kuning yang cantik berkilat dan masak lembut sekata dan tidak lembik. Boleh tengok di sini cara memasaknya.

Selain itu Pulut Kuning juga boleh di masak menggunakan rice cooker. Kaedah ini agak senang cuma memerlukan banyak kali percubaan  untuk mendapatkan sukatan air yang sesuai dengan beras pulut. Jika tidak kemungkinan pulut akan menjadi lembik dan tekstur beras pulut akan hancur.

Lagi satu cara menggunakan periuk dan di masak di atas dapur. Biasanya cara ini digunakan untuk memasak pulut pagi untuk di makan bersama kelapa (agak muda) parut digaul dengan sedikit garam dan di makan dengan ikan masin/ kering. Sedap ni!. 
Kali ini saya nak kongsikan cara paling mudah mengukus pulut kuning juga pulut pagi atau apa2 jenis pulut. Cara ini juga boleh guna untuk mengukus pulut untuk di buat Lemang Tanpa Buluh dan Lemang Pulut Kuning Special.

Bahan:
300 gm beras pulut
150 ml pati santan
200 ml air
1 sdm minyak masak
1.5 sdt garam
1 helai daun pandan
pewarna kuning (tak perlu pewarna jika mahu pulut putih)
Loyang 20cm
Cara:
1. Panaskan pengukus yang telah diisi air.
2. Cuci beras pulut, tos dan masuk ke dalam loyang.
3. Tuang santan, air, garam, perwarna, minyak dan daun pandan.
4. Bila air di dalam periuk kukus telah mendidih, masukkan loyang tadi dan tutup kukusan.
5. Kukus selama 30 minit dan kacau setiap 10 minit.
6. Selepas 30 minit, juka pulut masih tidak masak masukkan 1-2 sudu besar air panas, kacau dan kukus semula 10 minit.
7. Bila pulut sudah masak, masukkan ke dalam rice cooker dan keep warm. 
8. Sedap di makan dengan apa sahaja lauk kegemaran anda.
9. Pulut ini sesuai untuk pulut panggang, lopes, pulut pagi atau apa sahaja kuih yg seangkatan dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan